Muzium Padi Kedah Darul Aman terletak di Gunung Keriang, 8km dari Bandaraya Alor Setar. Telah dibuka dengan rasminya oleh Almarhum KDYMM Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah, Sultan Kedah ke 28 (1958-2017) pada 12 Oktober 2004, bersamaan 27 Syaaban 1425. Bangunan yang berbentuk gemai padi ini mempunyai sebuah bangunan induk dan enam buah bangunan sampingan di sekelilingnya. Muzium yang berlatar belakangkan Gunung Keriang ini kelihatan seperti berada di tengah-tengah hamparan hijau, jika anda berkunjung pada musim menanam dan dalam hamparan keemasan pada musim padi masak.
Tujuan utama muzium ini dibina ialah bagi mewujudkan sebuah muzium yang unggul untuk mempamerkan bahan-bahan berkaitan padi yang melibatkan budaya, penyelidikan dan pembangunan serta perkembangan teknologi padi. Keluasan keseluruhan Muzium Padi ini ialah 12,000 meter persegi dan mempunyai tiga aras.
Lot 798 Jalan Gunung Keriang, Mukim Gunung Keriang,
06570 Alor Setar, Kedah Darul Aman
Telefon : 604-7351315
Faks : 604-7305516