Muzium Diraja adalah sebuah Istana lama dan pernah didiami oleh beberapa orang Sultan Kedah. Pelbagai nama diberikan seperti Istana Kota Setar, Istana Mak Wan Besar, Istana Pelamin atau Rumah Pelamin. Istana ini siap dibina pada tahun 1735 ketika pembukaan Alor Setar sebagai pusat pentadbiran Negeri Kedah yang ke-8 oleh Almarhum DYMM Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’azzam Shah I, Sultan Kedah ke 19 (1710-1778).
Ketika Perang Dunia Kedua, tentera Jepun pernah menduduki istana dan kemudiannya turut dijadikan ibu pejabat beberapa pertubuhan sebelum dibiarkan tanpa perhatian. Pada 1983, istana ini dibaikpulih dan dijadikan Muzium Diraja sempena perayaan menyambut Jubli Perak pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan dirasmikan oleh baginda pada 25 Julai 1983. Kandungan pameran di sini antara lain mengetengahkan koleksi DYMM Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta koleksi yang diperoleh daripada kerabat Diraja Negeri Kedah.
Muzium Diraja
Jalan Raja, 05100 Alor Setar, Kedah Darul Aman
Telefon : 604-7327937
Faks : 604-7305182